Friday, July 10, 2015

2015 07 09 Ramadhan 22 1436 H - Ampunkan Dosa Kami Ya Allah

Ya Allah,
45 tahun Kau izinkan aku berada di dunia ini.  45 tahun aku diizinkan bernafas tanpa sebarang sekatan dan bayaran.  Kau berikan semuanya kepadaku.  Keluarga besar yang mempunyai seribu kerenah, suami yang perlukan perhatian, anak anak yang dambakan kasih sayang, ibu bapa yang butuh pertolongan dan adik beradik yang sangat manja dan masih merasakan diri mereka adik adik kecilku biarpun masing masing sudah punya anak anak dan tanggung jawab pada keluarga mereka sendiri dan masyarakat keliling dengan pendirian dan pendapat tersendiri.

Ya Allah,
Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi cabaran di dunia Mu ini.  Berikan aku kesabaran supaya dapat aku capai kekuatan untuk menghadapi cabaran itu.  Perindahkan muka ku dengan senyuman supaya aku mampu tersenyum dalam keadaan yang amat payah sekalipun.  Penuhkan dadaku dengan kekebalan untuk terus berjuang dan izinkan aku untuk dirahmati dengan rezeki.  Sesungguhnya rezeki dari Mu akan dipergunakan untuk keluarga dan insan yang memerlukan.

Ya Allah,
Kau yang Maha Besar.  Kau Yang Maha Agung
Kau yang Maha Mengerti dan Kau Yang Maha Memahami akan isi hati kami
Ampunkan lah dosa dosa kami
Rahmatilah hidup kami, sejahterakanlah keluarga kami
Jauhkanlah kami dari masalah hutang dan permudahkanlah urusan hutang hutang kami
Satu padukanlah keluarga kami jangan kau cerai beraikan kami

Ya Allah Ya Tuhan Kami
Berkatilah hidup kami, sejahterakanlah keluarga kami dan
Berikanlah kami kesihatan yang baik

Ya Allah Ya Rabb
Kasihanilah ibu bapa kami.  Mereka telah banyak bersusah payah untuk membesarkan kami
Mereka telah bertungkus lumus memberikan kebahagian dan kemewahan buat kami
Rahmatilah mereka dengan kasih sayangMu
Jauhkanlah sebarang kesakitan dari mereka
Ambillah semua kesakitan yang ada pada mereka
Berikanlah kesembuhan atas semua penderitaan mereka
Gembirakanlah ibu bapa kami sehingga nafas mereka yang akhir
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Agung dan Maha Penyembuh
Sembuhkanlah penderitaan ibu bapa kami dan gantikanlah dengan kegembiraan

Ya Allah
Tunjukkan aku sebagaimana mereka yang telah Engkau tunjukkan
Dan peliharalah aku sebagaimana orang orang yang telah Engkau peliharakan
Dan selamatkan aku dari bahaya yang telah Engkau tentukan
Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin
Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi
Aku memohon ampun dari Mu dan aku bertaubat kepada Mu
Berikan kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan
Berilah keberkatan bagiku pada apa apa yang telah Engkau kurniakan
Maka sesungguhnya, Engkaulah yang menghukum dan bukannnya yang kena hukum
Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi
Maka bagi Engkaulah segala pujian diatas apa yang Engkau hukumkan
Dan semoga Allah mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarganya

Amin Ya Rabbal Alamin

No comments:

Post a Comment